Karangan stpm :Langkah untuk meningkatkan tahap keselamatan di negara

Sejak kebelakangan ini,kejadian kes jenayah dikatakan semakin meningkat dan semakin sukar untuk ditangani oleh pihak berkuasa di negara kita.Hal ini oleh demikian kerana pelbagai faktor yang menyumbang ke arah berlakunya jenayah pada masa ini.Kes jenayah yang sering dilaporkan berlaku adalah seperti kes pembunuhan,rompakan,penculikan,pecah rumah dan sebagainya.Kes tersebut amat membimbangkan pelbagai lapisan masyarakat yang ingin akan kehidupan yang aman dan tenteram.Oleh itu,untuk menjamin keselamatan awam kejadian itu perlu ditangani dengan berkesan bagi mengelakkan dan membendung kes ini daripada terus meningkat.

Antara langkah untuk meningkatkan tahap keselamatan awam di negara ini ialah dengan adanya pihak berkuasa seperti polis,anggota RELA,dan Rukun Tetangga.Pihak berkuasa ini perlulah meningkatkan rondaan dengan kerap di kawasan berisiko dan tumpuan berlakunya jenayah.Tindakan tersebut akan menakutkan orang-orang yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan jenayah.Contohnya,pihak berkuasa iaitu polis perlu melakukan rondaan yang lebih kerap di pusat beli belah,bank,kedai emas dan sebagainya.Melalui cara itu,kes jenayah dapat dikurangkan dan keselamatan awam dapat ditingkatkan.Perkara ini jelas membuktikan bahawa kadar jenayah dapat diatasi dan dikurangkan apabila pihak berkuasa sentiasa membuat rondaan serta bekerjasama dalam menangani kes jenayah ini.

Selain itu,langkah seterusnya ialah mengukuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di setiap kawasan kampung atau di setiap kawasan perumahan.Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan ini juga boleh menjadi sebahagian daripada pengintip berprofesional kepada pihak polis dan mereka ini juga dapat membantu pihak polis untuk membanteras kes-kes jenayah yang berlaku.Contohnya,mereka boleh menjadi “Rakan Cop” dan memberikan maklumat kepada pihak polis tentang kegiatan jenayah.Perkara ini diyakini dapat mencegah atau mengurangkan kes jenayah daripada menjadi lebih serius.Oleh hal yang demikian jelaslah bahawa dengan adanya penubuhan JKKK ini dapat mengurangkan kes jenayah yang berkemungkinan akan berlaku di kawasan persekitaran perumahan.

Di samping itu,pihak yang bertanggungjawab disarankan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat awam atau di tempat berisiko.Hal ini demikian kerana,berkemungkinan bahawa orang awam yang berada di kawasan tersebut tidak prihatin atau leka dengan keadaan sekeliling yang mengakibatkan penjenayah memulakan kegiatannya.Kamera tersebut dapat mengimbas dan merakam segala perbuatan kegiatan jenayah yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab.Oleh hal yang demikian,pihak berkuasa perlu menempatkan kamera litar tertutup ini di kawasan berisiko terutamanya di taman permainan,bank,kawasan perumahan dan sekitar tempat awam.Hal ini demikian supaya pihak polis dapat mengecam muka penjenayah atau merakam segala perilaku dan tindakan jenayah serta membantu dalam menganalisis secara terperinci maklumat yang dapat menyelesaikan kes jenayah sehingga tertangkapnya penjenayah terbabit.Oleh itu,kamera litar tertutup perlu diletakkan di tempat yang berisiko tinggi supaya negara kita dapat meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kadar jenayah.

Langkah yang seterusnya ialah membina pondok polis atau membina pos kawalan keselamatan di laluan masuk kawasan perumahan.Hal ini dapat membantu dalam menangani kes jenayah seperti pecah masuk iaitu merompak daripada berlaku kerana penjenayah-penjenayah tersebut lebih takut membuat masalah disebabkan adanya pengawal atau polis yang menjaga keselamatan kawasan perumahan.Pondok kawalan ini juga dikatakan dapat berfungsi sebagai pusat kawalan,pemantauan,dan tempat orang ramai membuat aduan tentang kes jenayah yang berlaku.Jadi,pihak berkuasa amatlah digalak menubuhkan pondok kawalan keselamatan di tempat yang strategik dan menjadi tumpuan kepada penjenayah supaya pihak polis dapat menangkap dan memberikan hukuman kepada mereka dengan lebih cepat.

Pihak yang bertanggungjawab juga boleh mengadakan ceramah kesedaran tentang ancaman jenayah.Ceramah ini juga perlu dilaksanakan secara besar-besaran bagi menghadirkan kesedaran kepada orang ramai tentang bahayanya ancaman jenayah dan keburukannya dalam kehidupan seharian.Dengan itu,mereka ini akan menyahut seruan kerajaan untuk membanteras jenayah bersama-sama dengan pihak berkuasa.Kesedaran ini juga dapat dipupuk di kalangan masyarakat khasnya golongan muda melalui pendidikan iaitu mata pelajaran yang dikhaskan dalam mendidik golongan belia.Hal ini kerana golongan muda perlu dididik sejak di usia muda agar tidak melibatkan diri atau terpengaruh dengan aktiviti jenayah apabila mereka kian meningkat dewasa.

Kesimpulannya,segala langkah yang disarankan harus dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan terancang secara berterusan dengan semua pihak.Hal ini demikian kerana kerjasama semua pihak menjamin tahap keselamatan awam di negara supaya dapat dikekalkan.


Ulasan

Catat Ulasan